Monday, December 7, 2009

Amalan-amalan baik tapi terbalik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamu'alaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja ,bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca al-Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah-Nya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia@tidak bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Saturday, November 21, 2009

Bagaimana ADAM Tercipta

Assalamualaikum,

Payahnya Malaikat Meminta Tanah Dari Bumi Kita selalu mendengar kisahnya Nabi Adam AS.Dan kita juga terlalu tahu tentang kejadianya manusia itu adalah dari tanah. Tetapi apakah kita tahu akan tanahnya itu? Apakah kita tahu akan prosesnya kejadian itu? Mari kita baca kupasan yang sedikit ini, mudah-mudahan kita lebih mengetahui tentangnya dan Insyaallah dapatlah kita mempelajarinya bersama-sama. Berpesan- pesanlah pada kebaikan dan berpesan-pesanlah pada kesabaran.

BETAPA PAYAHNYA MALAIKAT-MALAIKAT MEMINTA TANAH DARI BUMI UNTUK NABI ADAM AS (ABUL BASYAR / Bapa segala manusia)

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam. Akan tetapi apabila beliau sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi kuathir Adam akan menjadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar mendengar sumpah bumi. Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail. Jawapan bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa. Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu." Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah,kembalilah ia ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan kutugaskan engkau mencabut roh manusia." Maka kuathirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia.Lalu Allah berfirman lagi: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.

JENIS TANAH YANG DIGUNAKAN:
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdiringa Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if Menurut Ibnu Abbas:
1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana disitulah berada otak manusia,dan disitulah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq,kerana disitu tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana disitu tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah,untuk mencari nafkah dan kerjasama,sesama manusia. 8. Tangan kirinya dari tanah Paris,tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon. Disitulah tempat seks (berahi) dan tipu-daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10.Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11.Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12.Hatinya dari tanah syurga Firdaus,kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
13.Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat, bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.

PROSES KEJADIANNYA:
1. Ketika Allah jadikan Adam, tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan didalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah, dan dirasmikan dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4.Kemudian tubuh itu dibenamkan didalam air "Kudral-Izzah- Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
5.Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk kedalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk.Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail. Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam,tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala,dan dua buah liang di bawah badan letaknya. Tujuh buah letaknya adalah di:
1. Kepala : dua.liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah: Sebuah liang kemaluan dan liang dubur. Dijadikan pula lima buah pancaindera: 1. Mata alat penglihatan 2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya. Setelah Roh masuk kedalam tubuh Adam : Lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan kebawah dimana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan. Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya kehadrat Allah. Lalu Allah berkata :"Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat pula mengucapkan "Yarhamukallah" . Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Disini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa" .(Al-Israk: II) Maka ketika roh itu sampai dibahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus. Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit tujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan. (Dipetik dari buku HIMPUNAN KISAH-KISAH MALAIKAT disusun oleh Muhammad Isa Selamat)

RENUNGAN Sesungguhnya Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha pencipta sekian alam dan pencipta setiap kejadian. Bertaqwalah kita kepadaNya, kerana pada Allahlah kita akan dikembalikan. .

Sunday, August 2, 2009

Hikayat Buat Renungan

Babi Bersyukur Jadi Babi

Dari manuscript lama yang tercatat di atas kulit kambing yang dijumpai berkurun masihi di sebuah negara "middle east"..

Orang yang menulis tidak dapat dikesan. Ini adalah sesuatu yang harus direnung dan di fikirkan bersama bukans etakat baca dan lupakan, harap kita semua dapat mengelakkan diri kita terjatuh dalam golongan seperti dalam manusript dibawah.

Amin Seorang nasrani berkata, " saya amat bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan dalam bangsa nasrani. Ini kerana saya lebih mulia dari bangsa Majusi." Seorang majusi pula berkata, "saya juga berasa amat bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan dalam bangsa Majusi. Ini kerana saya lebih mulia dari orang kafir."
(cuba kita meneliti dua perbualan diatas, kita dapati, kedua-dua kafir tidak mengaku mereka kafir dan mereka saling bandingkan dengan orang kafir... cuba kita lihat pula apa orang kafir kata... ) Seorang kafir pula berkata, " saya juga rasa bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan kafir. Ini kerana kafir lebih mulia dari dilahirkan sebagai anjing." Anjing pula berkata, "saya juga bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan sebagai anjing. Ini kerana anjing lebih mulia dari dilahirkan sebagai babi."
(mari kita teka apa kah kesudahan perbualan ini, dan cuba kita teka apakah yang babi akan kata dan siapakah yang babi akan bandingkan dengan dia... ) Babi pula berkata, "saya juga bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan sebagai seekor babi. Ini kerana saya lebih mulia dari manusia yang tidak solat atau sembahyang" .
Ini adalah sebuah manuscript yang memberi kesedaran kepada umat Islam yang masih tidur dan juga umat yang selalu membandingkan diri mereka dengan insan yang lebih buruk dan lemah dari mereka. Jika ini berterusan, umat Islam tidak akan maju. Tercatat didalam Al-Quran, bahawa umat islam yang meninggalkan solatnya akan menjadi semakin banyak dan lumrah pada akhir zaman... adakah ini akan berlaku atau sedang berlaku atau telah berlaku? Sesungguhnya mati itu adalah benar, azab neraka itu adalah benar dan syurga itu adalah benar... maha suci ALLAH

Tuesday, June 23, 2009

SIAPAKAH KITA..? siapa... yaa..??

Siapakah orang yang sombong?
_Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
_Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
_Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?
_Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?
_Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?
_Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s. a. w.

Siapakah orang yang buta?
_Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
-Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
-Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?
-Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
-Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?
-Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
-Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?
-Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi

Siapakah orang yang bodoh?
-Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
-Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
-Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
-Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
-Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
-Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
-Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
-Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
-Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
-Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Monday, May 18, 2009

SEDIKIT PERINGATAN BUAT RENUNGAN

FIKIR-FIKIRKANLAH...

1. Apa gunanya wajah yg tampan atau cantik rupawan dan tubuh badan yang kuat seandainya
solat lima waktu tidak dapat dijaga...fikir-fikirkanlah.

2. "Enam perkara yang dipandang asing di enam tempat iaitu :
a- Masjid adalah asing di kalangan orang-orang yang tidak sembahyang di dalamnya.
b- Al-Quran adalah asing di rumah orang-orang yang tidak mahu membacanya.
c- Al-Quran juga adalah asing di dalam hati orang-orang yang fasik
(iaitu orang- orang yang tidak mahu mengamalkan isinya).
d- Seorang muslimah yang soleh dipandang asing di sisi lelaki yang zalim, yang buruk
perangainya
e- Lelaki muslim yang soleh adalah asing di samping perempuan yang hina, yang buruk
akhlaknya.
f- Dan orang alim adalah asing dikalangan kaum yang tidak mahu mendengar nasihatnya.
fikir-fikirkanlah

3."Ada empat macam yang berharga dalam diri manusia dan ia boleh hilang dengan empat sebab. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu dan amal soleh. Maka akal boleh hilang disebabkan marah.Agama boleh hilang disebabkan dengki. Malu boleh hilang disebabkan tamak dan amal soleh boleh terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain."..fikir-fikirkanlah

4. Biarlah sedikit asalkan diberkati-Nya, Daripada banyak yang memudaratkan, Berkat di dunia oh indah nikmatnya, Berkat di akhirat balasannya syurga..fikir-fikirkanlah

5."Kamu tidak boleh memberi kepuasan kepada semua orang, tetapi kamu boleh memberi kepuasan kepada golongan yang berakal, beradab dan terpilih". - Ibnu Maqaffa...fikir-fikirkanlah

6. "Bila Allah cepat makbulkan Doamu, Maka DIA Menyayangimu, Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, Maka DIA Ingin Mengujimu, Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu. Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun...Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya..."..fikir-fikirkanlah

#LAZIMKANLAH DIRIMU DENGAN MEMPERBANYAKKAN ZIKIR DAN FIKIR#

Friday, April 17, 2009

GOLONGAN RUWAIBIDHAH DI MALAYSIA

Siapakah golongan Ruwaibidhah?
Kehadiran kelompok ini memang mendatangkan banyak masalah kepada umat Islam serata dunia. Kecelakaan menimpa umat ini memang parah. Dan kehadiran mereka adalah salah satu penyebabnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.
Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai." [Ibnu Majah]

Menurut keterengan Ustaz Fahmi Zam Zam dalam 40 hadis susunannya berhubung akhir zaman, beliau menyimpulkan bahawa era di mana terbitnya Ruwaibidhah ini adalah zaman ketandusan daripada segi material dan pemikiran.

Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanya peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Ciri-ciri Ruwaibidhah
Berdasarkan hadis itu, kita dapati Ruwaibidhah adalah mereka yang hadir pada era tandus dan kekeringan hikmah, pengetahuan hingga umat tidak lagi mampu berfikir dengan cara betul. Ini isyarat pertama.

Oleh sebab masyarakat menjadi bodoh kerana diperbodohkan pihak penguasa, maka orang berdusta pun boleh menjadi benar dan orang yang benar pula boleh dikatakan sebagai telah berdusta. Ini isyarat kedua.

Pengkhianat diminta memegang amanah dan orang yang amanah dituduh pengkhianat. Ini isyarat ketiga.

Isyarat keempat dan yang terakhir; yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Inilah yang paling utama sekali. Kita akan huraikan kemudian, kenapakah isyarat ini yang dianggap penting dan terutama.
Mengakhiri sabdanya, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa pada hakikatnya.. Ruwaibidhah itu manusia yang kerdil, hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.

Ruwaibidhah di negara kita
Antara ciri-ciri yang utama Ruwaibidhah ini ialah sistem yang dipegang, amalan pentadbiran dan cara hidup era tersebut telah menyebabkan, hanya golongan Ruwaibidhah sahaja yang bercakap. Manakala, penyertaan suara yang selain daripada mereka tidak diberikan.
Keadaan ini menyebabkan maklumat menjadi tidak seimbang, rakyat akan mendengar sebelah pihak dan menelan bulau-bulat propaganda mereka. Dengan sebab inilah masyarakat dan rakyat tu menjadi semakin bodoh kerana diperbodohkan.

Setelah masyarakat tidak cerdik, maka berleluasalah gejala lain seperti, orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung-sanjung dan didewa-dewakan.
Akta-akta, undang-undang diperkenalkan sehingga menyekat penyertaan suara orang-ramai. Orang yang benar-benar ikhlas dan jujur sangat kurang peluangnya untuk bercakap, menulis dan melontarkan pandangan. Media dikawal rapi. Pendek kata inilah ciri-ciri diktator pada hari ini.

Sebenarnya, jika mereka ingin menunjukkan kebaikan, semua itu hanyalah sekadar sandiwara dan lakonan. Mereka mungkin mahu menyekat suara orang-ramai, tetapi dikhuatiri akan dinamakan kukubesi dan diktator. Maka, sesekali terpaksalah mereka merelakan penyertaan suara khalayak ramai. Tapi, selepas itu mereka akan menutupnya semula.

Peluang bercakap cuma dimiliki sepenuhnya oleh watak-watak yang hina dan mereka ini tak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya. Bayangkan, ruang bercakap di media, radio dan televisyen dimonopoli oleh orang yang tidak tahu mengendalikan masalah rakyat.

Sedangkan, mereka yang benar-benar bijaksana dalam urusan menyelesaikan masalah rakyat telah diketepikan suara mereka itu dalam ruang media. Dan jika mereka yang bijaksana ini mahu mencari pentas ceramah dan pidato, permit boleh ditarik balik pada saat-saat akhir setelah pada awalnya permit itu diberikan.

Perkembangan mutakhir ini menyebabkan ramai pihak boleh menyatakan suara dan bantahan mereka menerusi blog, laman web dan sebagainya. Namun, mereka tetap terdedah kepada unsur godaman internet oleh pihak-pihak tertentu, ditahan reman di bawah akta tertentu untuk disoal-siasat dan lain-lain tindakan lagi.

Bagaimana mengatasi Ruwaibidhah?
Tidak guna juga jika kita merincikan siapakah Ruwaibidhah tanpa memberikan imbuhan mengenai bagaimanakah caranya untuk menangani puak-puak Ruwaibidhah ini.
Asas atau kunci untuk menumbangkan hegemoni, legasi puak-puak Ruwaibidhah ini amat bergantung kepada taraf kecerdikan rakyat yang telah diperbodohkan selama ini. Ketika masyarakat cerdik dan cekap membuat keputusan, maka Ruwaibidhah ini akan tumbang dengan sendirinya nanti, insya Allah.

Islam telah pun menggariskan apakah ciri-ciri munafik sebagai musuh utama umat Islam. Munafik sebenarnya bukan Islam. Mereka kelihatan Islam di luaran, tetapi dalamannya masih kufur. Munafik akan terlempar dalam neraka terlebih dahulu. Dan, tidak sah berimamkan orang munafik kerana pada hakikatnya mereka adalah kufur.
Demikian ciri munafik. Tetapi, sukar dikenalpasti kemunafikan ini lantaran mereka juga bersolat seperti orang lain.

Sementara ciri-ciri ruwaibidhah ini boleh jadi terlekat ke atas Muslimin dan orang bukan Islam. Dalam masyarakat Islam ada pemimpin ruwaibidhah dan begitu juga dalam negara bukan Islam. Pendek kata, ruwaibidhah adalah ciri universal yang dimiliki oleh mana-mana bangsa, agama dan kepercayaan.

Kehadiran golongan ruwaibidah bersifat merentasi sempadan bangsa, negara, agama dan kepercayaan dan boleh mereka hadir di mana-mana jua. Sedangkan munafik hanya suatu gelaran yang dinisbahkan kepada orang bukan Islam yang menyamar untuk melemahkan umat Islam daripada dalam. Ini ciri khas untuk masyarakat Islam sahaja.

Penawar untuk menjatuhkan tembok keangkuhan ruwaibidhah ialah..
perjuangan menegakkan kebebasan bersuara, menggalakkan kemunculan ruang media yang lebih banyak untuk membongkar isi filsafat songsang mereka selama ini.
Penyertaan bersuara dalam kalangan rakyat menggetarkan seluruh hati dan perasaan kelompok Ruwaibidhah kerana tipu daya mereka akan terbongkar. Niat jahat mereka ditumbangkan oleh bedilan kata-kata pejuang kebenaran.

PPSMI dan Ruwaibidhah
Sabda Rasulullah s.a.w, Ruwaibidhah ini sebenarnya watak manusia yang kerdil, hina dan mereka ini sebenarnya tak tahu mengenai cara bagaimana mahu menyelesaikan masalah orang-ramai. Masalah masyarakat yang tidak selesai, belum selesai dan separuh selesai ini berpunca daripada kegagalan media yang seimbang untuk beroperasi secara adil.

Ruwaibidhah inilah yang dengan takburnya mengangkat suara: "Perjuangan belum selesai!"
Mahu selesai bagaimana sedangkan mereka inilah antara penyumbang saham terbesar dalam usaha meruntuhkan tamadun bangsa ini. Suara-suara untuk menegur dihalang. Yang ingin membuat pembaharuan dipecat, dan dikenakan pelbagai tindakan.

Sebenarnya, banyaklah masalah rakyat yang belum selesai di bawah pemerintahan Ruwaibidhah ini. Ciri-ciri terakhir yang telah digariskan oleh baginda rasulullah ialah mereka ini tidak mengerti urusan orang-ramai. Mereka tidak tahu kerana tidak turun padang bagi menyelami hakikat sebenarnya.

Tak perlu ambil contoh urusan rakyat yang terlalu banyak. Ambil contoh PPSMI saja. Adakah Ruwaibidhah ini boleh turun menyamar dan betul-betul menyelidik mengenai susah-payah orang bawahan, guru-guru yang mahu melaksanakan PPSMI?

Ternyata Ruwaibidhah tidak tahu banyak kesukaran rakyat bawahan. Selain itu, orang yang ingin bercakap benar seperti guru-guru yang ingin melontarkan keluhan, tidak diizinkan bercakap di media dengan ugutan tertentu oleh Ruwaibidhah.

Malah, cendekiawan yang benar dalam kalangan GMP dituduh sebagai pendusta. Sedangkan si Ruwaibidhah ini pula dikatakan sebagai orang yang benar dalam ucapannya.
Tokoh-tokoh GMP sentiasa hadir dengan jumlah bilangan yang sama dan kehadiran mereka tidak berubah. Walhal Ruwaibidah telah berubah daripada Hishammuddin Hussein kepada Muhyiddin Yassin. Mengubah seorang Ruwaibidhah kepada Ruwaibidhah yang lain tidaklah mengubah apa-apa dasar itu pun.

Ini kerana Ruwaibidhah tetaplah digantikan dengan Ruwaibidhah. Salin pakaian dan baju sahaja sedangkan roh, jiwa serta pemikiran termasuk sistemnya tetaplah sama.
Adakah hal ini pun salah satu daripada strategi halus Najib juga untuk menyelamatkan sepupunya Hishammuddin dan supaya Muhyiddin terbeban dengan banyak hal dan akhirnya hal ini menjadi hujah untuk menyingkirkan Muhyiddin kemudian hari?

Ruwaibidhah Najib akan melakukan banyak sandiwara lakonan sepanjang pemerintahannya. Bermula rampasan kuasa di Perak, kemudian penarikan penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dalam keadaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang masih dikekalkan, Ruwaibidhah ini masih lagi menyekat dan membataskan penyertaan suara.
Adalah perlu bagi Ruwaibidhah Najib menonjolkan kebaikannya buat sementara waktu. Tetapi gergasi Ruwaibidhah ini tidak boleh menipu para pengamal media yang terlalu cukup masin dengan pengalaman ketika menekuni tipu helah Najib dan fasih pula dengan sandiwara membebaskan 13 tahanan ISA itu.

Masa dan waktu, bersulam keinginan rakyat mencari ruang maklumat yang lebih banyak menyebabkan Ruwaibidhah akan hancur sedikit demi sedikit. Anai-anai maklumat inilah yang akan meruntuhkan tembok gergasi Ruwaibidhah Najib, insya Allah!

12:50 p.m, 15 April